Isnin, 16 Mei 2016

Banjir Kilat Dan Ziarah Mangsa Banjir

Sabtu, 7 Mei 2016 - Hujan yang mula turun sekitar jam 5.00 petang dan bertukar menjadi lebat sekitar jam 6.00 petang hingga 8.00 malam telah mengakibatkan lebih kurang 26 buah rumah didalam Kampung Sungai Machang dimasuki air. Keadaan ini diburukkan lagi oleh beberapa lokasi laluan air ke sungai Semenyih yang sempit.

Air di sungai Pagok dihilir kampung telah melimpah keluar ke jalan utama kampung dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. dari jam 6.30 petang hingga 8.00 malam. Air yang melimpah ini juga telah melalui dan membanjiri 5 buah rumah sebelum ia surut ke sungai. (dibawah video yang sempat dirakam oleh admin di sungai Pagok)


Manakala, disebelah tengah kampung air yang turun dari tapak projek Sunway Semenyih telah membanjir 3 buah rumah dimana rumah mereka berada dilaluan air yang turun.



Disebelah hulu kampung pula banjir telah melibatkan hampir 18 buah rumah dimana laluan keluar air ke sungai Semenyih yang sempit dan sungai serta parit yang ada tidak dapat menampung air yang turun dari belakang kampung yang merupakan kawasan bukit. Dikawasan ini banjir mula surut sekitar jam 10.00 malam.

Banjir ini telah mengakibatkan kerosakan kepada harta benda beberapa buah rumah yang terlibat. Alhamdulillah bencana ini tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Lanjutan daripada musibah ini pada 15 Mei 2016, Ketua Kampung Tuan Haji Bakhtar serta ahli JKKK Kampung Sungai Machang dan beberapa penduduk telah mengadakan satu program lawatan serta menyampaikan sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Turut bersama didalam program ini ialah Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rosli Che Mat yang telah sudi menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan membuat tinjuan ke beberapa lokasi yang menjadi penyebab kepada musibah banjir ini. Turut hadir dalam program ini ialah Tuan Haji Arif Bujang mantan Ketua Kampung Pasir Baru.

Gambar beberapa rumah dan lokasi yang terlibat :-





Isnin, 9 Mei 2016

Futsal Antara kampung2 Tradisi Mukim Semenyih

Ahad, 1 Mei 2016 - Satu kejohanan Futsal telah diadakan Di Dataran Dato' Mat Said Rinching yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Kemajuan Mukim, Semenyih.

Kampung Sungai Machang telah menghantar 2 pasukan yang terdiri dari anak-anak remaja kampung. Kejohanan yang bermula lebih kurang jam 9.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Tn Hamidi A.Hasan Penyelaras DUN Semenyih.


Kedua-dua pasukan "Yellow Machang" telah berjaya sehingga peringkat suku akhir sahaja. Namun begitu, tahniah diucapkan kepada mereka kerana ini merupakan penampilan kali pertama pasukan ini diarena kejohanan Futsal. Sekalung penghargaan kepada Saudara Mohd Fikri Abdul Latif @ Pak Nanat atas usaha beliau mengumpulkan serta melatih anak-anak remaja kampung.




admin/gj......

Ahad, 8 Mei 2016

"Yellow Machang" Tidak Mahu Mengalah.

Ahad, 17 April 2016 - Satu perlawanan bolasepak diantara Veteran Kg. Sg. Machang dengan Penduduk Taman Semenyih Mewah telah diadakan di padang bolasepak Kg. Sg. Machang.

Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim diantara kedua-dua penduduk disamping itu juga mengajak warga-warga veteran setempat untuk beriadah/bersukan untuk menjalani hidup yang sihat. Selain itu juga ia sebagai pemberi semangat bagi golongan remaja untuk bersukan.

Perlawanan yang telah diaturkan oleh Ustaz Hafiz dari Taman Sri Tanjung ini telah mendapat sambutan dari kedua-dua belah pihak dengan menampilkan pemain-pemain masing-masing yang terdiri dari golongan veteran sehinggalah golongan remaja.

Walaupun para pemain dari Sg. Machang kebanyakannya adalah veteran berbanding dengan lawan namun, keputusan perlawanan kali ini masing-masing terikat seri 5 berbalas 5. 

Alhamdulillah perlawanan yang berlangsung hampir 2 jam ini telah berjalan dalam suasana yang sungguh harmoni sekali dimana kedua-dua belah pihak  berharap ia akan dapat diadakan lagi dalam masa yang terdekat.

Namun begitu, satu insiden telah berlaku keatas salah seorang pemain veteran Kg. Sg. Machang iaitu En. Shafie Bin Hanafiah atau lebih dikenali dengan nama "Busu Gas". Beliau telah mengalami serangan jantung dan telah dikejarkan ke hospital. Dan selepas menerima rawatan di Wad hospital Kajang selama 4 hari, Alhamdulillah kesihatan beliau bertambah pulih. 





Antara aksi-aksi pemain veteran pada hari itu :-