Isnin, 19 Oktober 2015

Sepetang Bersama YDP Pekawanis

Semenyih, 16 Oktober 2015 - Satu majlis "Sepetang Bersama YDP Pekawanis" (Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor) yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Semenyih telah berlangsung di Dewan Orang Ramai Pekan Semenyih. Majlis yang bermula sekitar jam 3.00 petang itu diserikan lagi dengan kehadiran YDP Pekawanis iaitu YBHG Puan Shamsida Taharin yang merupakan isteri kepada Dato' Menteri Besar Selangor Tuan Azmin Ali.

Kampung-kampung tradisi  disekitar Semenyih dan Beranang telah dijemput didalam cabaran Pertandingan Hiasan Masakan Rendang pada hari itu yang mana ia akan diadili oleh seorang chef yang dijemput khas. Lebih kurang 15 kampung tradisi telah menyahut cabaran ini.

JKKK Sungai Machang dibawah Biro Wanita juga tidak ketinggalan menyahut cabaran berkenaan. Rendang dimasak secara gotong royong seawal jam 10.00 pagi oleh Biro Wanita dengan dibantu oleh wanita-wanita veteran kampung. Rendang berkenaan telah dibawa ke Dewan Orang Ramai Pekan Semenyih dan telah dihias serta dihidangkan bersama pulut kuning dan nasi impit untuk dipersembahkan kepada Juri. 

YBHG Puan Shamsida Taharin telah mengambil
peluang untuk merasa masakan rendang-rendang yang dipertandingkan. Alhamdulillah Kampung Sungai Machang telah dinobatkan sebagai naib johan didalam cabaran ini dan tahniah diucapkan kepada Biro Wanita JKKK Sungai Machang yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan tugasan ini.

Turut dipertandingkan pada petang itu adalah cabaran mengukir buah-buahan untuk Persatuan Penduduk Taman-taman sekitar Semenyih dan Beranang. 

Hadiah-hadiah telah disampaikan pada petang itu juga oleh YBHG Puan Shamsida Taharin. Juga disampaikan sumbangan dan bantuan kepada fakir miskin.

Tahniah kepada Penyelaras DUN Semenyih Tuan Hamidi A. Hasan yang telah berjaya mengadakan majlis ini dan kami dari JKKK Sungai Machang mengucapkan ribuan terima kasih diatas jemputan ini.
Majlis selesai lebih kurang jam 5.30 petang.

p/s - Admin konyang makan ghondang.......mantoooopppppp ahaaakksss





 
 admin/GJ








Rabu, 14 Oktober 2015

Ambang Tahun Baru Hijrah 1437


Pada 13 Oktober 2015 yang lalu, satu majlis menyambut Tahun Baru Hijrah 1437 telah diadakan di Surau Al-Mansuriah, Kg. Sungai Machang.

Majlis bermula jam 6.45 petang dimana para jemaah sudah mula hadir awal ke surau untuk bersama-sama mengaminkan bacaan doa akhir tahun dan juga doa awal tahun Hijrah.

Selesai solat maghrib berjemaah, diadakan bacaan surah Yaasiin serta tahlil khusus buat ahli kariah yang telah lebih dahulu meninggalkan kita.


Selepas solat isya' diadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan kampung.


Walaupun mendapat sambutan yang kurang menggalakkan dari para penduduk. Namun ia tetap berseri dengan penyertaan dari anak-anak Tahfiz Madrasah Al-Muhammadiyyah.


Majlis bersurai lebih kurang jam 9.30 malam selepas hadirin semua dijamu dengan jamuan yang disediakan oleh pihak AJK surau.

Insyaa Allah pada 23 Oktober 2015 ini akan diadakan ceramah khusus sempena bulan Hijrah 1437 yang akan disampaikan oleh Ustaz Duraibi (Pegawai JAIS). Semua ahli kariah dijemput hadir.














Admin/GJ

Selasa, 13 Oktober 2015

Majlis Pelancaran Bulan Sukan Kg. Sungai Machang & Hari Sukan Negara

Pada 10 Oktober 2015 yang lalu bersempena dengan Hari Sukan Negara, JKKK Kg. Sungai Machang telah melancarkan "Bulan Sukan Kg. Sungai Machang" dengan tema pada kali "SUKAN MENGERATKAN SILATURRAHIM".

Pada hari yang sama juga telah diadakan acara pertandingan bola sepak dan bola tampar diantara penduduk kampung dimana Tuan Haji Bakhtar Abd Rahman selaku Ketua Kampung turut sama menyertai pasukan bola sepak untuk memberi semangat kepada anak-anak muda kampung.

Pelancaran ini turut dimeriahkan lagi dengan acara sukaneka oleh kanak-kanak Kg. Sungai Machang.

Sambutan amat menggalakkan sekali pada kali ini dengan adanya penyertaan dari kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas.

Bagi acara-acara lain yang bakal dipertandingkan pada minggu-minggu yang berikutnya adalah sepak takraw, ping pong serta bowling.


Video Majlis Pelancaran
















admin/GJ