Isnin, 30 November 2015

"Sanjungan Budi Lambaian kasih" Sempena Majlis Perpisahan Penghulu Mukim Semenyih.


Bangi, 29 November 2015 - Jawatankuasa Penyelaras Kemajuan Mukim Semenyih (JKPM) telah menganjurkan satu majlis makan malam bagi meraikan Penghulu Mukim Semenyih En. Adzman Bin Omar yang akan bertukar ke Mukim Batu kerana kenaikan pangkat. Majlis yang diadakan di Bangi Golf Resort ini diserikan lagi dengan kehadiran isteri serta anak-anak Penghulu Adzman. Turut hadir dalam majlis ini semua ketua-ketua kampung Mukim Semenyih serta isteri dan barisan ahli JKKK mereka.  

JKKK Sungai Machang telah diberi kepercayaan untuk menguruskan bahagian pentas untuk majlis berkenaan dan Puan Sharul Sima Shariff dari Biro Wanita JKKK  Sungai Machang telah diberi mandat bagi mengacarakan majlis berkenaan. Alhamdulillah majlis telah berjalan dengan lancar dan jayanya. 

Tuan Haji BakhtarAbdul Rahaman telah diberi penghormatan untuk memberi ucapan  dalam majlis ini sebagai wakil ketua-ketua kampung Mukim Semenyih. Dalam ucapannya beliau merasakan pertukaran Penghulu Adzman Omar ke Mukim Batu merupakan satu kehilangan besar buat Mukim Semenyih. Ini adalah kerana Penghulu Adzman Omar banyak memberi tunjuk ajar kepada ketua-ketua kampung di Mukim Semenyih bagaimana cara yang betul untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan cara urus tadbir yang betul. Memang kadang-kadang terasa agak cerewet cara kerjanya namun ianya adalah kerana beliau mengikut cara urus tadbir yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Namun begitu beliau berharap Penghulu Adzman Omar akan terus ceria di pejabat barunya nanti.

Didalam ucapan Penghulu Adzman Omar beliau tidak menyangka yang majlis meraikan beliau ini dibuat begitu meriah sekali. Beliau berasa amat terharu serta mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penganjur diatas penganjuran majlis ini yang beliau anggap pada mulanya ianya hanyalah majlis makan malam yang biasa-biasa sahaja. Beliau memohon maaf jika sepanjang 10 tahun beliau berkhidmat di Mukim Semenyih ini banyak perkara yang beliau tegur didalam tatacara kerja ketua-ketua kampung  mungkin ada yang sehingga menyinggung perasaan. Teguran itu bukannya bermaksud apa-apa cuma bertujuan mendidik. Namun begitu beliau berharap semua ketua-ketua kampung dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pada masa akan datang.


Dalam majlis ini Penghulu Adzman Omar telah diberi penghormatan untuk menyampaikan cenderahati dari JKPM kepada mantan ketua-ketua kampung yang pernah berkhidmat dibawah beliau. Antaranya ialah Tuan Haji Arif Bujang mantan Ketua Kampung Pasir Baru, En. Abu Bakar Abdullah mantan Ketua Kampung Sungai Purun dan En. Azam Yahya mantan Ketua Kampung Rinching Hulu. 

JKKK kampung-kampung yang berada dibawah Mukim Semenyih turut menyampaikan cenderahati kenang-kenangan buat yang diraikan pada malam itu Penghulu Adzman Omar yang telah disampaikan melalui Ketua Kampung masing-masing.   


Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian Karaoke oleh Penghulu Adzman Bin Omar yang sudi menyampaikan tiga buah lagu. Turut memberi persembahan nyanyian pada malam itu ialah Tuan Haji Bakhtar Abdul Rahaman (Ketua Kampung Sg. Machang) dan Tuan Haji Khairudin Bin Long (Ketua Kampung Sentosa). Dalam acara santai sambil menjamu selera ketua-ketua kampung telah diberi peluang untuk memberi ucapan mereka dan ucapan selamat kepada Penghulu Adzman.

Majlis bersurai lebih kurang jam 10.30 malam selepas selesai acara bergambar bersama penghulu Adzman buat kali yang terakhirnya oleh kesemua ketua kampung berserta dengan ahli JKKK masing-masing.

Buat Penghulu Adzman Bin Omar suka "admin" mengulangi pantun pengacara majlis pada malam itu.

Raut Wajah Damai Dan Tenang
Tiada Terkalam Kasih Dijunjung
Jasa Baktimu Tetap Dikenang
Budi Baikmu Tetap Disanjung


 



Foto-foto sekitar majlis berkenaan.

 







admin/GJ


  

Khamis, 26 November 2015

Bulan Sukan Kg. Sungai Machang



Oktober 2015 - Sempena Bulan Sukan Kg. Sungai Machang, Biro Belia, Sukan & Rekreasi JKKK Sungai Machang telah menganjurkan pelbagai acara sukan untuk dipertandingkan yang mana pesertanya terdiri daripada penduduk-penduduk kampung tanpa mengira usia. Ini sesuai dengan tema pada tahun ini iaitu "Sukan Mengeratkan Silaturrahim".

Acara sukan ini bermula pada 10 Oktober 2015.(sila rujuk Majlis Pelancaran Bulan Sukan Kg. Sungai Machang & Hari Sukan Negara ) Alhamdulillah semua acara yang dipertandingkan telah selesai antaranya bolasepak, sepak takraw, bola tampar dan acara kemuncaknya ialah acara bowling yang telah diadakan pada 15 November yang lalu di Kajang.

Turut bersama didalam acara bowling adalah keluarga Penghulu Mukim Semenyih iaitu En. Adzman Bin Omar. Beliau telah diberi penghormatan untuk merasmikan acara bowling pada hari itu.

Hadiah untuk acara bowling ini telah disampaikan pada hari yang sama, manakala untuk acara sukan yang lain akan disampaikan pada malam sambutan tahun baru nanti.

Dibawah adalah foto-foto sekitar Bulan Sukan Kg. Sungai Machang:-



 







 admin/gj




Rabu, 11 November 2015

Majlis Perpisahan Khas

Pada 10 November 2015 Surau Al-Mansuriah dan JKKK Sungai Machang telah mengadakan satu Majlis Ringkas bagi meraikan Penghulu Mukim Semenyih, Penghulu Azman Bin Omar yang akan dinaikkan pangkat ke Penghulu Kanan dan akan ditukarkan ke Mukim Gombak. Beliau akan melaporkan diri pada 16 November 2015 dan dijangka mula bertugas pada 1 Disember 2015.

Untuk makluman Penghulu Azman telah mula bertugas di Mukim Semenyih sejak tahun 2005. Ini bermakna lebih kurang 10 tahun beliau telah berkhidmat di sini.

Menurut Ketua Kampung Sungai Machang Tuan Haji Bakhtar Abdul Rahman didalam ucapannya, pertukaran Penghulu Azman ke Mukim Gombak adalah merupakan satu kehilangan yang amat dirasai. Ini adalah kerana Penghulu Azman banyak memberi tunjuk ajar tatacara urus tadbir kampung kepada ketua-ketua kampung Mukim Semenyih terutamanya beliau sendiri. Dari cara mengendalikan mesyuarat JKKK dengan betul sehinggalah kepada surat menyurat.

Majlis pada malam itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Yaasiin selepas Fardhu Maghrib dan selepas Fardhu Isyak telah diadakan Majlis ringkas perpisahan dan jamuan.

Kami JKKK Sungai Machang mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Penghulu Azman Bin Omar. Semoga berjumpa lagi...Insyaa Allah.





admin/gj


"Gotong Royong Perdana"



Semenyih, 10 November 2015 - Mengambil peluang sempena cuti Hari Deepavali, satu majlis "Gotong Royong Perdana" bagi membersihkan tanah perkuburan Jalan Sungai Lalang, Semenyih telah dianjurkan oleh Masjid Raja Muda Musa, Pusat Khidmat DUN Semenyih dan PeBT MPKJ Zon 18 dengan kerjasama JKKK Kg.Sungai Machang, JKKK Kg. Sentosa, JKKK Kg. Tanjung dan Taman Sri Tanjung.

Tanah perkuburan ini merupakan salah satu tanah perkuburan lama dikawasan Semenyih dan terletak didalam Kg. Sungai Machang.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ahli Parlimen Hulu Langat YBHG Dr. Che Rosli, Penyelaras DUN Semenyih Tuan Hamidi A. Hasan serta pelajar-pelajar Tahfiz Darul Mustafa. Dr. Che Rosli telah menyampaikan peralatan gotong royong yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat DUN Semenyih.


Majlis telah dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan bacaan doa oleh Ketua Kampung Sentosa Tuan Haji Din dan selesai lebih kurang jam 12.00 tengahari.

Terima kasih kepada semua yang terlibat.




admin/gj