Jumaat, 9 September 2016

Program Ziarah Warga Emas

Sabtu, 30 April 2016 - Satu program "Ziarah Warga Emas" telah diadakan dimana program ini merupakan program tahunan bagi JKKK Kg. Sungai Machang. Selain menyampaikan sedikit sumbangan dan bertanyakan khabar, ziarah ini juga adalah bertujuan bagi mengeratkan silaturrahim diantara warga emas dengan JKKK.

JKKK amat menghargai para warga emas ini yang mana disuatu ketika dahulu mereka merupakan tulang belakang serta nadi penggerak bagi Kg. Sungai Machang.

Alhamdulillah, rata-rata warga emas yang kami ziarahi berada didalam kesihatan yang memuaskan. 

 admin/gj.....

Isnin, 16 Mei 2016

Banjir Kilat Dan Ziarah Mangsa Banjir

Sabtu, 7 Mei 2016 - Hujan yang mula turun sekitar jam 5.00 petang dan bertukar menjadi lebat sekitar jam 6.00 petang hingga 8.00 malam telah mengakibatkan lebih kurang 26 buah rumah didalam Kampung Sungai Machang dimasuki air. Keadaan ini diburukkan lagi oleh beberapa lokasi laluan air ke sungai Semenyih yang sempit.

Air di sungai Pagok dihilir kampung telah melimpah keluar ke jalan utama kampung dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. dari jam 6.30 petang hingga 8.00 malam. Air yang melimpah ini juga telah melalui dan membanjiri 5 buah rumah sebelum ia surut ke sungai. (dibawah video yang sempat dirakam oleh admin di sungai Pagok)


Manakala, disebelah tengah kampung air yang turun dari tapak projek Sunway Semenyih telah membanjir 3 buah rumah dimana rumah mereka berada dilaluan air yang turun.



Disebelah hulu kampung pula banjir telah melibatkan hampir 18 buah rumah dimana laluan keluar air ke sungai Semenyih yang sempit dan sungai serta parit yang ada tidak dapat menampung air yang turun dari belakang kampung yang merupakan kawasan bukit. Dikawasan ini banjir mula surut sekitar jam 10.00 malam.

Banjir ini telah mengakibatkan kerosakan kepada harta benda beberapa buah rumah yang terlibat. Alhamdulillah bencana ini tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Lanjutan daripada musibah ini pada 15 Mei 2016, Ketua Kampung Tuan Haji Bakhtar serta ahli JKKK Kampung Sungai Machang dan beberapa penduduk telah mengadakan satu program lawatan serta menyampaikan sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Turut bersama didalam program ini ialah Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rosli Che Mat yang telah sudi menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan membuat tinjuan ke beberapa lokasi yang menjadi penyebab kepada musibah banjir ini. Turut hadir dalam program ini ialah Tuan Haji Arif Bujang mantan Ketua Kampung Pasir Baru.

Gambar beberapa rumah dan lokasi yang terlibat :-





Isnin, 9 Mei 2016

Futsal Antara kampung2 Tradisi Mukim Semenyih

Ahad, 1 Mei 2016 - Satu kejohanan Futsal telah diadakan Di Dataran Dato' Mat Said Rinching yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Kemajuan Mukim, Semenyih.

Kampung Sungai Machang telah menghantar 2 pasukan yang terdiri dari anak-anak remaja kampung. Kejohanan yang bermula lebih kurang jam 9.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Tn Hamidi A.Hasan Penyelaras DUN Semenyih.


Kedua-dua pasukan "Yellow Machang" telah berjaya sehingga peringkat suku akhir sahaja. Namun begitu, tahniah diucapkan kepada mereka kerana ini merupakan penampilan kali pertama pasukan ini diarena kejohanan Futsal. Sekalung penghargaan kepada Saudara Mohd Fikri Abdul Latif @ Pak Nanat atas usaha beliau mengumpulkan serta melatih anak-anak remaja kampung.




admin/gj......

Ahad, 8 Mei 2016

"Yellow Machang" Tidak Mahu Mengalah.

Ahad, 17 April 2016 - Satu perlawanan bolasepak diantara Veteran Kg. Sg. Machang dengan Penduduk Taman Semenyih Mewah telah diadakan di padang bolasepak Kg. Sg. Machang.

Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim diantara kedua-dua penduduk disamping itu juga mengajak warga-warga veteran setempat untuk beriadah/bersukan untuk menjalani hidup yang sihat. Selain itu juga ia sebagai pemberi semangat bagi golongan remaja untuk bersukan.

Perlawanan yang telah diaturkan oleh Ustaz Hafiz dari Taman Sri Tanjung ini telah mendapat sambutan dari kedua-dua belah pihak dengan menampilkan pemain-pemain masing-masing yang terdiri dari golongan veteran sehinggalah golongan remaja.

Walaupun para pemain dari Sg. Machang kebanyakannya adalah veteran berbanding dengan lawan namun, keputusan perlawanan kali ini masing-masing terikat seri 5 berbalas 5. 

Alhamdulillah perlawanan yang berlangsung hampir 2 jam ini telah berjalan dalam suasana yang sungguh harmoni sekali dimana kedua-dua belah pihak  berharap ia akan dapat diadakan lagi dalam masa yang terdekat.

Namun begitu, satu insiden telah berlaku keatas salah seorang pemain veteran Kg. Sg. Machang iaitu En. Shafie Bin Hanafiah atau lebih dikenali dengan nama "Busu Gas". Beliau telah mengalami serangan jantung dan telah dikejarkan ke hospital. Dan selepas menerima rawatan di Wad hospital Kajang selama 4 hari, Alhamdulillah kesihatan beliau bertambah pulih. 





Antara aksi-aksi pemain veteran pada hari itu :-









Khamis, 21 April 2016

"Ziarah Mahabbah"

Ahad, 17 April 2016 - Satu program ziarah yang diberi nama "Ziarah Mahabbah" telah diadakan. Program anjuran JKKK Kg. Sg. Machang dengan kerjasama dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Semenyih ini bertujuan melawat disamping menyampaikan bantuan.


Program yang turut disertai oleh YB Dr. Che Rosli Bin Che Mat selaku Ahli Parlimen Hulu Langat dan Penyelaras DUN Semenyih Tuan Hamidi AHassan ini bermula lebih kurang jam 3.00 ptg dan berakhir sekitar jam 5.00 ptg.

Seramai 20 orang individu telah dipilih pada kali ini untuk dilawati dimana 5 orang dari penduduk Kg. Sg. Machang dan 15 orang dari Taman Sri Haneco. Individu-individu ini merupakan warga emas, orang hilang upaya, sakit atau ditimpa musibah, miskin serta saudara baru.







admin/gj.....

Rabu, 20 April 2016

Sambutan Hari Wanita 2016 Peringkat Kg. Sungai Machang

Ahad, 17 April 2016 - Satu majlis sambutan "Hari Wanita" telah dianjurkan oleh Biro Wanita, JKKK Kg. Sg. Machang dengan kerjasama Surau Al-Mansuriah telah diadakan di balairaya Kg. Sg. Machang. Dengan tema kali ini "Muslimah, Mukminah, Muslehah", jawatankuasa sambutan yang diketuai oleh Puan Hazizah Saad mengambil keputusan untuk meraikan
para ibu tunggal yang ada didalam Kg. Sg. Machang.

Syabas diucapkan kepada Biro Wanita kerana ini merupakan sambutan kali kedua diadakan, memandangkan sambutan pada tahun lalu amat menggalakkan. Alhamdulillah jumlah kehadiran penduduk pada tahun ini juga amat memberangsangkan dari tahun lalu. 

Majlis yang bermula seawal jam 2.00 petang itu telah dirasmikan oleh YB Dr. Che Rosli Bin Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat. Didalam ucapan, beliau menyarankan agar ibu-ibu tunggal ambillah peluang yang telah disediakan oleh kerajaan yang mana merupakan program-program yang boleh menjana ekonomi keluarga. Pemimpin masyarakat seperti wakil-wakil rakyat, penghulu dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung boleh masing-masing mengenalpasti kumpulan sasar ini di tempat masing-masing, menyenarai utamakan kes-kes ibu tunggal mengikut permasalahan dan mengambil tindakan untuk membantu dari aspek kebajikan dan lain-lain.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Tn. Hamidi AHassan selaku Penyelaras DUN Semenyih serta isteri Pn. Asiah Dahalan, ketua kampung Tanjung En. Jaafar Hodri serta isteri, ketua kampung Sentosa Tn. Haji Khairuddin Long dan ketua kampung Rinching Hulu Tn. Haji Raja Zazman.



Selaku Ketua Biro Wanita, Puan Hazizah Saad didalam ucapan, beliau amat menyanjungi para ibu tunggal yang tabah mengharungi hidup membesarkan anak-anak dan menjadi ketua keluarga. Disamping itu juga beliau mengajak mereka untuk bergiat aktif dalam masyarakat supaya tidak terasa terpinggir. Turut memberi ucapan didalam majlis ini adalah Pn. Asiah Dahalan yang telah menyampaikan serangkap puisi. Ketua kampung Sungai Machang Tuan Haji Bakhtar Abdul Rahaman dalam ucapannya menyatakan bahawa setiap kejayaan sesebuah organisasi pasti ada penglibatan kaum wanita didalamnya dan seharusnyalah diadakan Hari Wanita ini bagi mengiktiraf para wanita.

Selesai upacara perasmian, YB Dr. Che Rosli Bin Che Mat, Tuan Hamidi AHassan serta semua para tetamu lelaki diminta untuk meninggalkan majlis untuk ke program "Ziarah Mahabbah" yang telah dirancang oleh JKKK dengan kerjasama Penyelaras DUN sementara sambutan Hari Wanita diteruskan dengan acara-acara yang telah disediakan.

Berbagai acara telah diadakan antaranya pertandingan "Gubahan Tuala" dan juga acara santai bersama-sama para wanita yang hadir. Pertandingan "Gubahan Tuala" telah dimenangi oleh Puan Norlailah Majid dengan gubahan yang diberi nama "Kasih Ibu Kepada Anak", Puan  Norsiah Majid ditempat kedua dengan gubahan yang diberi nama "Curahan Kasih" dan Puan Norhatikah ditempat ketiga. Hadiah telah disampaikan oleh Puan Asiah Dahalan.

Majlis telah dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada solat asar serta sedikit jamuan telah disediakan dan telah disambung semula dengan acara penyampaian anugerah cemerlang SPM 2015 serta sumbangan. Seramai tiga orang pelajar telah menerima anugerah cemerlang pada tahun ini yang telah disampaikan oleh YB Dr. Che Rosli Bin Che Mat.

Sebagai pemberi semangat sedikit sumbangan dari Biro Wanita bagi meringankan beban telah diberikan kepada ibu-ibu tunggal yang hadir yang mana telah disampaikan oleh Tn. Hamidi AHassan Penyelaras DUN Semenyih.

Majlis telah bersurai lebih kurang jam 6.00 petang.



Foto-foto sekitar majlis.
Anugerah Cemerlang SPM


 Sumbangan Untuk Ibu Tunggal

Sumbangan Untuk Ibu Tunggal

Hadiah Misteri

Setinggi Penghargaan Kepada Mereka Semua.



admin/gj



Selasa, 5 April 2016

Bolasepak Persahabatan Veteran Sg. Machang Vs Veteran KRT Tmn Sri Tanjung


Ahad, 3 April 2016 - Satu perlawanan bolasepak diantara Veteran Kg. Sg. Machang dengan Veteran KRT Taman Sri Tanjung telah diadakan di padang bolasepak Kg. Sg. Machang.

Perlawanan ini bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim diantara kedua-dua penduduk disamping itu juga mengajak warga-warga veteran setempat untuk beriadah/bersukan untuk menjalani hidup yang sihat. Selain itu juga ia sebagai pemberi semangat bagi golongan remaja untuk bersukan.

Acara yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan dari kedua-dua belah pihak dengan menampilkan pemain-pemain veteran masing-masing yang terdiri dari golongan profesional sehinggalah kegolongan pendakwah. Pemain yang paling veteran adalah berumur 73 tahun dan ini menunjukkan bahawa faktor umur bukanlah penghalang untuk kita beriadah/bersukan dan menjalani kehidupan yang sihat.


Keputusan perlawanan ini berpihak kepada Kg. Sungai Machang dengan jaringan 5 gol berbalas 4 gol oleh pihak KRT Taman Sri Tanjung. Namun begitu kalah menang bukanlah matlamat bagi perlawanan ini diadakan.

Alhamdulillah perlawanan yang berlangsung hampir 2 jam ini telah berjalan dalam suasana yang sungguh harmoni sekali dimana kedua-dua belah pihak  berharap ia akan dapat diadakan lagi dalam masa yang terdekat.

Antara aksi-aksi pemain veteran pada hari itu :-






admin/GJ.....